Monday, December 6, 2010

taubat!

Bertaubatlah!!!

by Mohamad Zuhairi Abd Hadi on Sunday, December 5, 2010 at 2:54am
Bismillahirrahmanirrahim…Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha penyayang.

ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH…

Renungan bersama untuk kita semua




Kita sentiasa berada dalam dosa. Disebabkan dosa kita menyebabkan Allah memandang hamba-Nya itu dengan penuh benci dan murka sehingga terhijab seluruh rahmat dan kasih sayang-Nya dan dosa-dosa itulah yang menjadi sekatan(hijab) antara hamba dengan Allah SWT. Bila ini terjadi, apa saja amal ibadah dan kebajikan yang kita buat, Allah tidak pandang dan tidak terima dan pahalanya tergantung atau tidak sampai kepada Allah. Bahkan bukan itu saja, Allah akan menghukum dengan Neraka yang maha dahsyat di akhirat nanti. Oleh itu wajib setiap hamba Allah itu bertaubat dengan segera terutamanya apabila melakukan dosa dan kesalahan.

Taubat maksudnya kembali merujuk kepada Allah yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Kita berserah diri pada-Nya dengan hati penuh penyesalan yang sungguh-sungguh serta kesal, sedih, dukacita dan rasa tidak patut di atas dosa-dosa yang dilakukan sehingga menangis mengeluarkan air mata. Hati terasa pecah-pecah bila mengingati dosa-dosa yang dilakukan itu. Selain itu, kita merayu-rayu moga dosa kita diampunkan serta meminta Allah supaya memandang dan memberi dengan penuh kasih sayang. Kita juga perlu berjanji dengan Allah agar tidak mengulangi kembali kesalahan-kesalahan yang lalu.

Itulah pengertian taubat. Tidak sepertimana sesetengah orang memahami pengertian taubat selama ini. Kata mereka, cukup dengan hanya mengucapkan istighfar di mulut, “ Astaghfirullahal azim.” Hati tidak merasa bersalah dan berdosa. Tidak semudah itu Allah SWT hendak menerima taubat hamba-hamba-Nya kecuali setelah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan-Nya.

Syarat-syarat taubat ada dua bahagian sebagaimana dosa dan pahala terbahagi kepada dua, iaitu:
syarat taubat di atas dosa dan kesalahan dengan Allah
syarat taubat di atas dosa dan kesalahan dengan sesama manusia
SYARAT TAUBAT DOSA DENGAN ALLAH
Menyesal sungguh di atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Yakni terasa kesal, sedih, dukacita, rasa tidak patut kerana melanggar syariat Allah. Sekaligus datang perasaan menyerah diri kepada-Nya.
Berazam bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi lagi perkara-perkara yang menjadi larangan Allah itu.
Meninggalkan perkara-perkara yang mendatangkan dosa-dosa dengan Allah sama ada dosa besar atau dosa kecil.
a. Antara contoh-contoh dosa besar ialah meninggalkan sembahyang, tidak puasa, merenung nasib, minum arak, zina, judi, rasuah, riba, memfitnah, mengumpat, membunuh dan lain-lain lagi.

b. Di antara dosa-dosa kecil ialah mendedahkan aurat, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, mendengar nyanyian yang menaikkan nafsu syahwat, bercakap perkara-perkara lucah, bergurau berlebih-lebihan, melawak, membazir dan lain-lain lagi.

SYARAT TAUBAT DOSA DENGAN MANUSIA
Menyesal sungguh-sungguh di atas segala kesalahan yang dibuat terhadap orang lain itu. Benar-benar terasa di hati perasaan sedih, dukacita dan rasa tidak patut berbuat begitu.
Meninggalkan terus perkara-perkara yang mendatangkan dosa dengan manusia.
Berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi perkara-perkara yang mendatangkan dosa yang ada hubungan dengan manusia itu.
Meminta maaf atau meminta redha (halal) kepada orang yang kita telah berbuat dosa terhadapnya atau bayar semula ganti rugi atau pulangkan barang yang telah diambil. Dosa-dosa sesama manusia ini kalau hendak disebutkan terlalu banyak.
Secara ringkasnya ia boleh dibahagikan kepada empat kategori iaitu:

a. Dosa yang ada hubungan dengan harta.
Contohnya hutang yang tidak dibayar, harta yang dicuri, dirampas, ditipu, dibinasakan dan lain-lain lagi. Ini semua mesti minta dihalalkan atau meminta maaf pada orang yang bersangkutan atau bayar hutang atau dibayar ganti ruginya atau seumpamanya.

b. Dosa yang ada hubungan dengan peribadi.
Contohnya pukul, tempeleng, cubit, rotan, dera seperti membuli, mengikat, merantai, menyeksa dengan barangbarang tajam atau binatang-binatang bisa, mencacatkan anggotanya atau memotong anggotanya, mengurung atau memenjarakannya dan lain-lain. Dosa-dosa ini semuanya mesti diminta maaf kepada orang berkenaan dan bersedia menerima hukuman mengikut ketentuan syariat sekiranya dia meminta untuk mengenakan hukuman di atas perbuatan kita itu.

c. Dosa yang ada hubungan dengan maruah atau agamanya.
Misalnya memberi malu di depan khalayak ramai, mengumpat dirinya, menghinanya, menuduh dia dengan tuduhan-tuduhan yang tidak benar, fitnah dan lain-lain kesalahan. Ini mesti diminta maaf atau minta redha.

d. Dosa yang ada hubungan dengan keluarganya.
Contohnya kita pernah pegang-pegang, raba-raba, cium anak gadisnya atau zinai anggota keluarganya atau bunuh ahli keluarganya dan lain-lain. Maka hendaklah minta maaf dan minta redha dari keluarganya. Kalau mereka tidak redha dan maafkan, kenalah sanggup diapa-apakan sahaja oleh pihak keluarganya itu sama ada dipukul, ditempeleng dan sebagainya mengikut yang ditentukan oleh syariat.

Di sini kita dapat lihat bahawa bertaubat terhadap dosa dengan sesama manusia lebih berat daripada dosa dengan Allah. Ia mesti menempuh empat syarat tetapi dosa dengan Allah hanya tempuh tiga syarat.
Semua tuntutan syariat ini mesti dibuat mengikut kaedah di atas, barulah taubat itu diterima oleh Allah. Sungguhpun begitu bukan mudah untuk menunaikan syarat-syarat tadi melainkan setelah memiliki hati yang benar-benar ikhlas dan surrender (menyerah sebulat hati) pada-Nya. Kalau tidak dapat menunaikan syarat-syarat ini, taubat itu tetap tidak akan diterima. Orang yang egonya tinggi amat berat untuk bertaubat. Lebih-lebih lagi dosa yang dilakukan itu terhadap sesama manusia.

Begitulah kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya kalau mereka membuat dosa-dosa. Masih ada peluang bertaubat untuk mendapat keampunan dari Allah dengan menempuh syarat-syarat yang telah disebutkan. Kecuali dosa syirik yang tidak mendapat keampunan dari Allah. Ini telah dinyatakan di dalam firman-Nya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa-dosa syirik tetapi akan mengampunkan selain itu.” (An Nisaa’: 48)

Maknanya selain syirik, orang-orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya akan diampunkan oleh Allah. Apabila diampunkan, maka samalah dia seperti orang yang tidak berdosa. Sabda Rasulullah SAW:

Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang bertaubat daripada dosa sepertilah orang yang tidak berdosa.” (Riwayat At Tabrani)

Sabdanya yang lain: “Sesungguhnya Allah menyukai seorang mukmin yang terjerumus berbuat dosa tetapi bertaubat.” (Riwayat Ahmad)




Wallahu a'lamu bi al-shawab......

No comments:

Post a Comment